Wednesday, March 20, 2013

Jamadil Awal


Jamadil Awal (Jumada al-Awwal), merupakan bulan ke-5. Dari segi bahasa, ia bermaksud kering atau beku. Bulan ini dinamakan sedemikian adalah kerana dalam bulan tersebut orang Arab pada zaman dahulu mengalami kekeringan air atau air menjadi beku. Pada ketika itu parit, sumur, sungai dan lembah menjadi kering

Amalan-amalan sunat di bulan Jamadil Awal adalah sama seperti amalan-amalan sunat di bulan-bulan lain. Tiada amalan-amalan istimewa yang khas untuk bulan Jamadil Awal yang menjadi amalan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam ataupun para sahabat mahupun salafus-soleh. Kita dianjurkan untuk meningkatkan amalan-amalan baik dari hari ke hari tanpa mengira apa jua bulan dalam taqwim. Tingkatkan mutu amalan-amalan fardhu dan tambah amalan-amalan sunat pada setiap masa seperti yang disarankan oleh Islam tidak kira di dalam bulan mana sekalipun.

Peristiwa-Peristiwa Penting di bulan Jamadil Awal

  • Peperangan "Al-'Ashirah" pada tahun kedua Hijrah, dipimpin oleh Baginda s.a.w.
  • Peperangan "Zat Ar-Riqa`" pada tahun kedua Hijrah, diketuai oleh Baginda s.a.w. Ianya di satu kawasan di daerah Najd di kediaman Bani Muharib dan Bani Tha`labah dari kaum Ghatafan.
  • Perutusan sekumpulan tentera Islam yang diketuai oleh Muhammad bin Maslamah ke "Al-Qussah" seramai 10 orang. Ianya bertujuan memerangi Bani Tha`labah, tetapi perutusan tersebut telah diserang hendap oleh seratus orang Badwi dan membunuh kesemua perutusan itu kecuali Muhammad bin Maslamah yang mendapat kecederaan parah sehingga orang-orang Badwi menyangkanya telah mati. Sekumpulan Badwi yang lain telah membawa beliau ke Madinah untuk mendapatkan rawatan di sana.
  • Peperangan Mu'tah pada tahun kelapan Hijrah. Ianya disebabkan oleh pembunuhan yang dilakukan oleh Syarahbil bin `Amr Al-Futhaniy terhadap seorang utusan Rasulullah s.a.w. iaitu Al-Harith bin `Umair Al-Azdiy dari kaum Bani Lahab. Beliau diutus oleh Baginda s.a.w. membawa sepucuk surat kepada Maharaja Rom atau Pembesar Busra tetapi dia telah ditahan dan diikat oleh Syarahbil lalu dibunuhnya.
  • Peperangan Ajnadain pada tahun kelima belas Hijrah. Ianya berlaku di antara tentera Islam yang dipimpin oleh Amru bin Al-`As, Abu `Ubadah bin Al-Jarrah dan Syarahbil bin Hasanah dengan tentera Rom yang dikepalai oleh Wardan di kawasan Ajnadain di Timur Yerusalem (Al-Quds).
  • Kematian Asma' binti Abi Bakar As-Siddiq yang digelar "Zat An-Nitoqain", salah seorang yang dijanji masuk ke syurga Allah s.w.t. dan merupakan orang perempuan kedua yang memeluk Islam selepas Khadijah binti Khuwailid. Beliau meninggal pada tahun 73 Hijrah semasa berumur seratus tahun. Merupakan ibu kepada Abdullah bin Az-Zubair yang telah dibunuh oleh Al-Hajjaj Ath-Thaqafiy.
  • Kematian Abdullah bin Az-Zubair pada 17 Jamadil Awal tahun ke 73 Hijrah yang merupakan anak kaum Muhajirin yang pertama dilahirkan di Madinah semasa penghijrahan orang Islam Mekah ke Madinah. Bapanya Az-Zubair bin Al-`Awwam sepupu Nabi s.a.w. dan ibunya Asma' binti Abu Bakar As-Siddiq, emak saudaranya `Aishah binti Abu Bakar. Beliau syahid dibunuh oleh Al-Hajjaj bin Yusuf pembesar kerajaan Bani Umaiyah
wallahualam...

1 comment:

  1. salam
    Alhmdlh..perkongsian yg baik.. =)
    trima kash mengingtkan ttg sejrh peristwa dahulu..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Other Site