Monday, December 1, 2014

Nabi Hud as


Nabi Hud as adalah nabi dan rasul ke 4 dikalangan 25 rasul yang wajib kita ketahui. Bainda diutus Allah untuk menyeru kaum Aad yang makin sesat dan penghidupan rohaninya tidak mengenal Allah. Mereka membuat patung-patung yang diberi nama Shamud dan Alhattar dan disembah sebagai tuhan mereka yang menurut kepercayaan mereka dapat memberi kebaikan dan menolak segala musibah.

Demikianlah maka kepada suku Aad yang telah dimabukkan oleh nikmat dunia sehingga tidak mengenalkan Allah. Nabi Hud as memulakan dakwahnya dengan menyeru kaum Aad kepada tanda-tanda wujudnya Allah yang berupa alam sekeliling mereka dan bahawa Allah-lah yang mencipta mereka semua dan mengurniakan mereka dengan segala kenikmatan hidup yang berupa tanah yang subur, air yang mengalir serta tumbuh-tumbuhan yang tegak dan kuat. Dialah yang seharusnya mereka sembah dan bukan patung-patung yang mereka perbuat sendiri. Mereka sebagai manusia adalah makhluk Tuhan paling mulia yang tidak sepatutnya merendahkan diri sujud menyembah batu-batu yang sewaktunya dapat mereka hancurkan sendiri dan memusnahkannya dari pandangan.

Bagi kaum Aad seruan dan dakwah Nabi Hud as itu merupakan barang yang tidak pernah mereka dengar ataupun menduga. Mereka melihat bahawa ajaran yang dibawa oleh Nabi Hud as itu akan mengubah sama sekali cara hidup mereka dan membongkar peraturan dan adat istiadat yang telah mereka kenal dan warisi dari nenek moyang mereka.

Dakwah Nabi Hud as telah ditolak oleh kaum Aad malah menyangkal kebenaran yang dibawa oleh Baginda. Kemudian Nabi Nuh as berkata "Baiklah!, jika kamu meragukan kebenaran kata-kataku serta tetap berkeras dan tidak menghiraukan dakwahku malah tidak mahu meninggalkan berhala-berhala itu maka tunggulah saat tibanya pembalasan Tuhan di mana kamu tidak akan dapat melepaskan diri dari bencananya. Allah menjadi saksiku bahwa aku telah menyampaikan risalah-Nya dengan sepenuh tenagaku kepada mu dan akan tetap berusaha sepanjang hayat kandung badanku memberi penerangan dan tuntunan kepada jalan yang baik yang telah digariskan oleh Allah bagi hamba-hamba-Nya."

Pembalasan Tuhan terhadap kaum Aad yang kafir dan tetap membangkang itu diturunkan dalam dua peringkat. Tahap pertama berupa kekeringan yang melanda ladang-ladang dan kebun-kebun mereka, sehingga menimbulkan kecemasan dan kegelisahan, kalau-kalau mereka tidak memperolehi hasil dari ladang-ladang dan kebun-kebunnya seperti biasanya. Pada masa yang sama baginda terus berdakwah dan menyeru kaum Aad bertaubat kepada Allah namun tetap ditolak.

Tentangan mereka terhadap janji Allah yang diwahyukan kepada Nabi Hud as segera mendapat jawapan dengan datangnya pembalasan tahap kedua yang bermula dengan gumpalan awan dan mega hitam yang tebal. Lalu kaum Aad pun bersorak gembira dan menyangkakan hujan akan segera turun. Kemudian berkatalah Nabi Hud as kepada kaum Aad "Mega hitam itu bukanlah mega hitam dan awan rahmat bagi kamu tetapi mega yang akan membawa kehancuran kamu sebagai pembalasan Allah yang telah ku janjikan dan kamu ternanti-nanti untuk membuktikan kebenaran kata-kataku yang selalu kamu sangkal dan kamu dusta.

Sejurus kemudian bertiuplah angin taufan yang dahsyat dan kencang dan memusnahkan harta benda mereka. Bencana angin taufan itu berlangsung selama lapan hari tujuh malam sehingga sempat menyampuh bersih kaum Aad yang bongkak itu dan menamatkan riwayatnya dalam keadaan yang menyedihkan itu untuk menjadi pengajaran dan ibrah bagi umat-umat yang akan datang.

Adapun Nabi Hud as dan para sahabatnya yang beriman telah mendapat perlindungan Allah dari bencana yang menimpa kaumnya yang kacau bilau dan tenang seraya melihat keadaan kaumnya yang kacau bilau mendengar gemuruhnya angin dan bunyi pohon-pohon dan bangunan-bangunan yang berjatuhan serta teriakan dan tangisan orang yang meminta tolong dan mohon perlindungan. Setelah keadaan cuaca kembali tenang dan tanah Al-Ahqaf sudah menjadi sunyi senyap dari kaum Aad pergilah Nabi Hud meninggalkan tempatnya berhijrah ke Hadramaut, di mana ia tinggal menghabiskan sisa hidupnya sampai ia wafat dan dimakamkan di sana dimana hingga sekarang makamnya yang terletak di atas sebuah bukit di suatu tempat lebih kurang 50 km dari kota Siwun dikunjungi para penziarah yang datang beramai-ramai dari sekitar daerah itu, terutamanya dan bulan Syaaban pada setiap tahun.

wallahualam..,

3 comments:

  1. Hem.. Bgitu jgak kisah nabi saleh dan kaum thamud. Allah maha besar :)

    ReplyDelete
  2. perkongsian yang menarik ... ^_^ , saya singgah disini....

    ReplyDelete
  3. SUBHANALLAH...
    thanks share kisah sejarah Nabi ... =)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Other Site